Jangan Biarkan Anak Berselera Kaum Sejenis
Written by Ceria Sunday, 12 July 2009 10:52
ADAKAH masih ingat lagi kisah yang dipaparkan dua minggu lalu berjudul `Ibu dituduh gila kerana report anak diliwat? Kisah tersebut bukan sahaja mendapat sokongan dari kaum lelaki, malah menarik perhatian seorang lagi ibu untuk memaparkan kisah yang sama.Setelah beberapa kali berhubung melalui e-mel dari beliau suami isteri, juga berbual melalui telefon, akhirnya beliau lega setelah dapat melahirkan isi hatinya melalui ruangan DCCK kerana katanya masih ramai lagi kalangan yang cuba menyembunyikan kebenaran tentang kegiatan sesetengah lelaki yang suka melaku perbuatan meliwat kanak-kanak ini.
Sebelum itu penulis suka memberitahu sambutan pembaca tentang kisah saudara baru bernama Qamarina minggu lalu juga tidak kurang hebatnya, kepada anda semua, insyaAllah pesanan anda akan disampaikan kepada Qamarina. Dan penulis sedang menunggu masa untuk bertemu dengan seorang lagi saudara baru insya-Allah akan disiarkan minggu depan. Minggu ini kita ikuti kisah Puan Saleha yang nasib anaknya sama seperti yang dilalui oleh anak puan Norlidar.
``Bila membaca kisah anak Norlidar, hati saya melonjak untuk memaparkan kisah yang sama, bukan kerana suka tetapi kerana tak tertahan dengan tekanan yang kami anak-beranak hadapi bila berhadapan dengan mereka yang berkuasa, tetapi tidak jalankan tugas dengan jujur.
``Saya suri rumah sepenuh masa mempunyai empat orang anak, dan anak saya yang sulung inilah yang menjadi mangsa. Dulu ketika masih gadis ketika membaca DCCK saya terkejut begitu banyak kejadian ganjil berlaku, kini saya tak sangka sungguh kejadian yang keji itu boleh berlaku kepada anak saya sendiri.
``Kejadian malang ini berlaku ketika anak saya hendak menduduk peperiksaan UPSR dua tahun lalu. Sebagai ibu bapa yang perihatin kami menghantar anak ke kelas tuisyen untuk memastikan dia berjaya, sebenarnya dia dah mula bertuisyen sejak tahun 4 lagi. Tapi saya mahukan dia mendapat markah yang terbaik dalam BI jadi saya hantar ke rumah seorang guru yang masih bujang yang tinggal bersama ibu bapanya. Di sinilah berlakunya peristiwa ngeri yang mening galkan titik hitam dalam hidup anak dan keluarga saya.
``Peringkat awal dia belajar di kelas tuisyen guru ini tiada sebarang perubahan berlaku. Tidak lama selepas itu saya dapat rasakan sedikit perubahan pada anak saya, dia mula tak mahu menjaga kebersihan diri, nampak serabut dan selekeh dengan rambut tak sikat, gigi tak diberus mandi tak bersabun. Hinggakan kalau tak dipaksa dia tidak akan buat.
``Peringkat kedua dia mula tak lalu makan kalau masak lauk kegemarannya pun dia cuma makan sikit. Peringkat ketiga dia tak mahu pergi ke kelas tusyen BI. Berleterlah kita marahkan dia baru dia mahu pergi. Peliknya kelas tuisyen lain dia suka pergi, asalkan bukan tusyen BI.
``Untuk pengetahuan kak Mai anak saya ni baik dan pendiam kalau saya marah dia macam mana sekalipun dia hanya diam dan tunduk atau paling tidak air matanya akan menitik dia tak pernah menjawab walaupun dia tak bersalah. Sementara itu guru BI ini pula selalu menelefon saya bagi memastikan anak saya tak lupa datang kelasnya.
``Sebagai ibu saya rasa guru ini bertanggungjawab. Masa terus berlalu dan sikap anak saya semakin berubah ke peringkat keempat yang boleh dikatakan berubah dari keadaan dirinya sebelumnya. Kalau dulu dia pendiam bertukar jadi memberontak kalau ada benda yang membuatkannya marah dia akan masuk bilik dan menghempaskan pintu sekuat hati dan dia akan menendang dinding biliknya hingga hatinya puas. Dalam pada itu badannya jadi kurus.
``Dia juga berubah dari seorang abang yang penyayang menjadi agresif suka memukul adik-adiknya. Saya dah tak boleh tegur dia saya seolah-olah telah kehilangan anak saya yang dulu. Saya tercari-cari apakah yang menyebabkan dia berubah adakah dia sedang berperang dengan dirinya yang semakin meningkat remaja atau adakah dia terlibat dengan ubat batuk, pil khayal, dadah atau apa? Setahu saya semua kawan-kawannya saya kenal dan dia tak pernah keluar seorang diri atau dengan kawan-kawan melainkan dengan abahnya.
``Ke mana-mana abahnya akan hantar hatta ke kelas tuisyen pun kami bergilir dengan jiran. Saya hanya benarkan dia keluar bermain bolasepak pada waktu petang di padang kawasan taman perumahan kami dan dia mesti berada di rumah sebelum waktu Maghrib.
``Perubahannya amat merisaukan saya, bila saya bertanya dia tidak menjawab. Namun saya
tak henti-henti berdoa pada Allah moga memberikan kekuatan pada saya agar berjaya mendidik anak-anak saya menjadi anak yang berjaya di dunia dan akhirat, dijauhi daripada perkara yang dilarang dan mendekatkan dirinya kepada Allah dan kebaikan.
``Bila saya berbincang dengan suami katanya mungkin perubahan budak-budak nak meningkat remaja. Dalam pada itu keadaannya menjadi lebih teruk bila dia asyik tidur bila ada waktu lapang hinggakan guru kelasnya juga terlihat perubahannya kerana dia tidur waktu ujian dijalankan. Dan dia seolah-olah berada dalam dunianya tersendiri semasa guru mengajar. Guru perihatin ini telah beberapa kali mengubah tempat duduk anak saya dalam kelas bagi memudahkan beliau memantau anak saya .
``Awal tahun lalu keadaannya bertambah teruk. Dan nak jadikan cerita satu petang anak saya meminta saya ambil beg tutionnya dari rumah guru tusyen BI kerana dia akan terus ke padang sekolah kerana ada latihan sukan. Bila saya sampai saya lihat ramai pelajar dah keluar dari tusyen, anak jiran saya pun dah keluar tetapi anak saya masih belum keluar.
``Oleh kerana dah lama menunggu saya suruh anak jiran panggil anak saya. Katanya tak ada. Pelik, saya pula masuk untuk memastikan, saya lihat kasutnya ada, beg tusyen atas meja, anak saya tak ada. Puas saya panggil namanya tapi tak berjawab.
``Saya turun semula ke bawah dan bertembung dengan ibu guru ini, beliau juga mencari anaknya tapi tak ada, pintu biliknya berkunci mungkin dia dah keluar. Saya ke padang sekolah mencari anak saya. Semasa nak keluar saya ternampak dia di pintu pagar sekolah.
``Bila ditanya ke mana dia pergi, katanya guru tusyen suruh dia taip nama budak dalam komputer, tanpa banyak soal saya balik ke rumah. Semasa dalam perjalanan saya terfikir juga mengapa anak saya sering keluar lewat dari kelas tusyen antara 15 hingga 20 minit. Suami saya juga ceritakan benda yang sama, hinggakan dia rasa letih menunggu dalam kereta.
``Bila abahnya tanya jawapannya guru tusyen BI suruh susun buku, kemas buku, buat kerja dalam komputer. Sementara itu gurunya juga sering menelefon suruh saya menghantar anak saya ke rumahnya pada waktu lapang (bukan masa tution) untuk membantunya membuat kerja-kerja tambahan. Bila saya beritahu anak saya gurunya suruh datang, dia bermati-matian tidak mahu pergi. Kami suami isteri mula mengesyakki ada sesuatu yang tak kena dengan anak kami, puas kami tanya tapi jawapannya tetap sama. Tak ada apa!
``Akhirnya saya meminta tolong kawan seorang doktor (anaknya lelaki sebaya anak saya) dia meminta bawa anak saya ke rumahnya dengan alasan mengulangkaji pelajaran. Kesempatan ini digunakannya untuk bertanya pada anak saya apa sebenarnya yang berlaku tetapi anak saya hanya menyatakan yang gurunya tusyen suruh picit badannya bila ditanya di mana, kata anak saya di dalam bilik tidur gurunya. Pengakuan anak saya ini amat memeranjatkan, saya terus memberhentikan dia dari kelas tusyen. Kerana hati saya rasa tidak senang.
``Bila berhenti bertalu-talulah gurunya menelefon. Saya katakan padanya bahawa anak saya dan saya tahu apa yang perlu saya lakukan dan esok saya akan bawa anak saya ke klinik untuk buat pemeriksaan. Tak pasal-pasal guru tu kata tak payah, anak saya cuma perlu tenangkan fikiran, bawalah makan angin. Lima minit kemudian dia telefon nak bercakap dengan anak saya, tapi saya buat alasan anak saya sedang tidur.
``Kami suami isteri merasa agak pelik, mengapa dia menghalang anak saya ke hospital. Sebagai ibu bapa dan berakal, kami mencari jalan bertanya kepada ibu kanak-kawan tusyen anak saya yang lain. Berkat petunjuk Allah juga akhirnya terbongkarlah cerita bukan anak saya saja yang di bawa masuk ke bilik lepas tusyen tetapi ada budak lelaki lain, budaknya pendiam dan baik.
``Ibu budak lelaki itu juga memerhatikan kelainan anaknya, dia baru sedar setiap kali pulang tusyen anaknya berbau minyak wangi, saya mencadangkan beliau hentikan anaknya. Tetapi beliau mahu siasat. Satu hari dia paksa anaknya ceritakan apa sebenar terjadi. Barulah terbongkar cerita gurunya suruh pegang*#@^** sambil buat benda-benda lucah dan menonton CD lucah.
``Kami suami isteri terkejut terus memaksa anak kami ceritakan yang sebenar, kerana kami dah dapat cerita sebenar dari kawannya. Barulah anak kami mengaku dia juga dibuat perkara yang sama. Rasa nak pitam saya! Nak terbalik rasanya dunia ini. Kami sepakat nak jumpa guru besar. Kami buat laporan secara lisan kerana guru tusyen itu pun mengajar di sekolah anak saya.
``Kami dua keluarga menceritakan kejadian yang sama kepada guru besar, beliau cuma berjanji akan menyiasat untuk mencari jalan yang baik dan akan ambil tindakan selepas merujuk kepada PPD. Tapi beliau meminta kami jangan menceritakan kepada sesiapa, terutama pada guru-guru sekolah. Beliau tidak pernah menasihatkan kami membuat laporan polis.
``Kami pernah ditemukan di bilik guru besar, guru ini melutut sambil menangis meminta ampun dan maaf dia dah bertaubat tak mahu buat lagi. Katanya masa depannya akan gelap kalau dilaporkan kepada polis. Dia menangis dan meraong-raong.
``Kerana merasakan guru besar kurang tegas terhadap tindakannya, terutam bila beliau beritahu dia ada garis panduan yang memerlukan dia menyiasat siapa yang londeh seluar siapa. Kami jadi terdiam dan terkejut. Akhirnya kami buat laporan polis.
``Semasa saya sedang memberi keterangan saya terkejut melihat ayah dan ibu guru itu datang ke balai sungguh cepat mereka dapat maklumat mereka terus berjumpa dengan Ketua Balai dan menyatakan bahawa laporan saya tak benar dan saya cuba memfitnah anak mereka. Setelah selesai buat laporan saya balik ambil anak saya dan bawa ke Hospital Besar Alor Setar untuk pemeriksaan selama 4 hari 3 malam anak-anak kami duduk di situ.
``Lepas buat laporan polis barulah ibu bapanya datang merayu-rayu meminta kami tarik balik laporan, kata mereka kasihanilah anaknya dah jadi macam orang gila menggelupur dan menjerit. Saya katakan kepada mereka anak kami juga cedera di otak dan jiwanya disebabkan orang yang tak bertanggungjawab dan saya sebagai ibunya hampir gila dan air mata saya dah kering menangisi apa yang berlaku, bukan mudah untuk kami menerima semua ini. Dan kami dah buat laporan polis kami tak boleh buat apa-apa lagi.
``Akhirnya guru ini menyerah diri ke balai. Dia hanya disoal siasat beberapa jam dan dia telah dibebaskan atas jaminan polis sebabnya konon dia dah mengaku kesalahannya. Dia tidak dikenakan tahanan reman. Saya cuma menangis dan kesal kerana kami tak ada kabel. Bayangkan bertapa guru ini mendapat keistimewaan, ini yang sangat saya kesalkan.
``Terdapat juga gangster yang mengganggu keluarga terdekat saya dan menyuruh mereka memaksa saya menarik balik kes ini jika tidak mereka akan melakukan kekacauan tetapi Alhamdulillah, Allah sentiasa menolong orang yang benar. Nak jadikan cerita mereka bergaduh sesama sendiri, tak tahulah apa sebabnya.
``Akhir kalam, doa kami kepada sesiapa yang membantu guru ini terlepas dari balasan dunia ini, maka mereka mestilah bersedialah kerana anda ada saham di akhirat nanti dan di sana tak ada kabel yang akan membantu anda.
``Sementara itu kami suami isteri juga telah mendapatkan khidmat kaunseling. Peristiwa ini mengajar kami lebih menyayangi keluarga. Allah ada berfirman tidak meningkat iman seseorang itu selagi dia tidak diuji. Kami pasrah dan percaya setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya. Dunia ini hanyalah pinjaman semata tiada yang kekal melainkan Allah.
``Saya paparkan kisah ini setelah membaca pengalaman yang dilalui oleh Norlidar. Saya rasa tentu beliau rasa lebih parah lagi kerana melibatkan orang berkuasa. Saya dapat rasakan keperitan hati, jiwa dan emosinya, kerana saya juga mempunyai pengalaman yang sama. Yang berbeza anaknya berusia dekat enam tahun sedangkan anak saya ketika itu dalam tahun 4 sudah boleh bercerita dan menceritakan pengalaman pahitnya.
``Sebenarnya saya pun tak suka menghebohkan cerita memalukan ini, tetapi saya buat dengan niat untuk membenteras dari awal supaya kejadian yang sama tidak berulang kepada anak-anak orang lain pula, apa yang berlaku umpama putaran alam, sebab itulah generasi kita semakin tak ketentuan gender. Saya juga mahu kisah ini menjadi panduan kepada ibu bapa lain yang menghadapi masalah yang sama, lepas buat laporan polis hebahkan kepada akhbar, kalau tidak kes ini akan terbenam sahaja. Terutama kepada anda yang tak ada kabel.
Demikian cerita Saleha tentang kejadian malang yang menimpa anak beliau dan kawan sekolah anaknya. Saya ingin bertanya satu perkara, mengapa mesti dikuburkan bila kejadian buruk berlaku, dan jangan terasa marah kalau dipanjangkan kepada pengetahuan umum.
- MAIMUNAH
Mahu Melanggan? | Daftar | RSS | Twitter





