Cintailah Islam Bukan Bercinta Dengan Lelaki Islam

Attention: open in a new window. PDFPrintE-mail
User Rating: / 0
PoorBest 
SEPERTI yang diduga, pandangan masyarakat kita terhadap masalah saudara baru, yang boleh saya katakan teraniaya memang menggalakkan, banyak pandangan diterima, tidak kurang kalangan mereka ingin membantu dari segi memberikan peluang perkongsian perniagaan, memberikan tempat tinggal dan lebih menarik ada yang ingin melamar jadi suri rumah tangga.

Ini semua jelas menunjukkan betapa mereka begitu bersimpati, prihatin, dan lebih penting ingin mengekalkan mereka menjadi seorang muslim sejati dan mendapat pertolongan. Malah penulis menerima e-mel seorang pembaca dari Australia yang turut memberi tahu cara bagaimana untuk mendapatkan kenalan serta pertolognan daripada persatuan ataupun pertubuhan saudara baru di Malaysia ini, begitu prihatin mereka terhadap nasib yang menimpa dua orang saudara baru, Qamarina dan Nurulaine.

Pendek kata ada yang bersimpati dan tidak kurang juga mereka yang menyesali perbuatan kaum sejenis mereka yang bukan sahaja tidak bertimbang rasa, malah boleh disifatkan kejam kerana tidak bertanggungjawab atas amanah yang telah diberikan.

Pandangan yang diterima terlalu banyak tetapi minggu ini penulis paparkan pandangan dari Farahnajwa yang diterima melalui e-mel. Kemudian setelah kami berbual di telefon beberapa kali, saya rasa mungkin ada baiknya kita fikirkan bersama, walaupun ada kalangan anda yang tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakannya.

``Dari dua kisah yang saya baca beberapa minggu lalu tentang nasib yang menimpa saudara baru Qamarina dan Nurulaine saya rasa nasib mereka tidak jauh bezanya dengan nasib kebanyakan kaum wanita Melayu kita yang menghadapi banyak masalah hidup seperti ditinggalkan, diceraikan, dianiaya dan macam-macam lagi.

``Bagaimana pun saya suka menasihati mereka, demikianlah nasib kaum wanita, tak kira Melayu atau apa kaum jua, tidak banyak berbeza, ada yang menderita ada juga yang amat bahagia hidupnya. Namun saya suka menasihati kedua-dua mereka supaya kekal sebagai wanita Muslim sejati, sama ada telah berkahwin ataupun setelah diceraikan.

``Saya rasakan kedua-dua wanita ini sedang kesaorangan, tiada siapa yang peduli apatah lagi ibu bapa dan rakan taulan memandangkan dia memilih Islam. Tetapi, dalam masa yang sama, anda mesti ingat, lahirnya saja anda kesaorangan, hakikatnya anda ada Allah. Bermakna anda ada segala-galanya, Allah mengatasi segalanya. Anggaplah apa yang terjadi sebagai ujian pertama anda sebagai orang Islam. Doa saya selaku saudara seagama cintailah Allah ada rahmat sebalik ujian tersebut.

``Saya ingin mengingatkan, dalam hidup kita sebagai wanita, lebih-lebih lagi zaman ini, kita mesti berdikari kerana lelaki akhir zaman ini bukan jenis yang boleh memelihara dan melindungi wanita walaupun hakikatnya Allah jadikan mereka untuk melindungi wanita, apa yang terjadi sebaliknya, wanita pula yang melindungi lelaki dari segi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Persoalannya, masih adakah lelaki Islam yang mulia bertanggungjawab seperti apa yang Allah tetapkan dalam agama kita yang maha suci ini? Jawapannya ya, ada!....Tapi zaman Jepun dahulu, zaman internet ini mungkin ada, tapi dalam 10 mungkin 2 orang aja.

``Saya yakin Qamarina memeluk Islam disebabkan cintanya kepada Allah dan Rasul. Bukan kerana lelaki Islam, yang kebanyakkan kini hanya Islam pada namanya saja. Jadi nasihat saya buang rasakecewa kerana tidak bertemu lelaki Islam yang baik. Tumpukan perhatian kepada amal ibadah. Jangan harap pertolongan insan bernama lelaki seratus peratus kerana anda sendiri pun sudah jadi mangsa penipuan lelaki yang tidak ada maruah dan tidak bertanggungajawab. Mereka cuma memalukan umat Islam.

``Yang lepas, jadikan panduan. Dan bangkit sendiri dengan kekuatan yang Allah berikan, berusahalah mencari pekerjaan yang boleh menyara diri. Minta tolong orang memang boleh, tapi tengok orang jugak. Jangan minta dari lelaki seperti abang angkat Qamarina bernama Kamal yang kaki pukul tu. Anda perlu tahu, dalam negara kita ini, terdapat puluhan atau ratusan ribu orang seperti Kamal, jalan paling selamat, usaha, doa dan tawakal, dalam masa yang sama jangan pulak ego, tapi berwaspadalah.

``Dan bukan Nurulaine sahaja yang dianayai lelaki Islam yang tidak bertanggungjawab. Terdapat juga kes saudara baru yang murtad, semata-mata kerana suaminya berkahwin lain. Suka saya mengingatkan kaum lelaki Malaysia memang ada hobi menambah isteri kerana ia macamkan satu kemenangan dan kemegahan dalam hidupnya.

``Alasannya cintanya berputik selepas kahwin, kalau adil alhamdulillah, kalau tak adil nanti kita dapat lihat di padang mahsyar banyak lelaki Malaysia berjalan bahu senget sebelah. Kerana tak adil dan tak beri nafkah anak dan isteri. Paling dahsyat macam cerita Nurulaine sudahlah dipujuk masuk Islam, lepas itu dipaksa pula menyara hidupnya. Apa jenis lelaki Islam kaum kita ini? Memalukan! Hampeh!

``Terdapat juga kes wanita seperti Nurulaine yang berasa amat kecewa dengan layanan suaminya, maka dia pulang ke pangkuan keluarga dan kepercayaan agamanya. Saya tidak mahu perkara ini berlaku kepada Qamarina dan Nurulaine. Saya pohon anda berdua kekalkan menjadi orang Islam, dalamilah Islam sebenarnya. Insafi bagaimana seksanya Rasulullah s.a.w. sewaktu beliau diboikot hanya kerana baginda memilih Islam. Cuba renung sejenak, bagaimana seksanya umat Islam dihalau dari Mekah dan terpaksa berjalan kaki mencari perlindungan di Madinah. Hanya Allah yang tahu betapa panasnya Bilal bin Rabah dijemur hidup-hidup di bawah panas terik mentari dengan batu besar di atas dadanya, yang keluar dari mulutnya cuma perkataan AHAD! AHAD! AHAD!

``Qamarina dan Nurulaine, kalaulah anda bersabar dan terus berpegang kepada tali Allah, insya-Allah anda juga akan sebaris dengan nama-nama orang yang saya sebutkan tadi. percayalah, nasib anda tidak akan seburuk nasib Amru bin Yasser yang menyaksikan keluarganya mati dibunuh dihadapannya hanya kerana ibu bapanya memilih Islam.

``Saya percaya anda berdua salah seorang daripada mereka yang saya sebutkan tadi. Anda perlu tahu satu perkara, dunia ini adalah syurga bagi mereka yang kufur dan neraka bagi orang mukmin, akhirat nanti adalah syurga bagi orang mukmin dan neraka bagi yang kufur. Apabila anda memilih Islam, maka banyaklah rintangan dan ujian akan dihadapi, tapi anda perlu sabar dan insaf. Teguhkan beriman kepada Allah.

``Percaya atau tidak, saya bukan nak menyamakan anda dengan Rasulullah, tetapi terimalah hakikatnya, selepas menjadi Islam memang seseorang itu akan dicabar. Tidak mengapa anda tidak ada suami, tapi ingat, anda ada Allah. Itulah pegangan saya selama ini. Saya sudah berusia 30 tahun, masih gadis. Dulu memang saya ingin berkahwin, ingin berlindung dengan manusia bernama lelaki, tetapi malangnya tiada lelaki Islam yang mahu melindungi saya, sebaliknya yang ada hanyalah lelaki Islam yang mahu saya melindungi mereka dengan wang ringgit dan tenaga saya.

``Paling memeritkan, lelaki Islam yang saya kenali ini sudah ada isteri yang baik dan sudah berkorban nyawa melahirkan 4-5 orang anak. Tetapi mereka tetap dipinggirkan, bila hati suaminya sudah beralih kepada wanita lain. Bila saya tanya kenapa nak kahwin lagi jawapannya amat mudah, seorang lelaki Islam layak nikah 2-3 orang isteri. Tidak apalah, kalau begitu pegangan lelaki Islam di Malaysia.

``Bila saya bangkang, mereka menyinga mengatakan saya derhaka kepada hukum Allah dan kerana itulah Rasulullah melihat banyak wanita dibakar dalam api neraka kerana enggan menerima hukum Allah yang menghalalkan lelaki bernikah 4 orang.

``Tapi bila saya bertanya balik, kenapa Rasulullah juga selepas itu dapat melihat ramai lelaki berjalan dengan bahu senget? Mereka akan menyinga marahkan saya pula. Itulah lelaki Islam zaman ini puan. Allah suruh mereka beri kita kasih sayang, mereka beri kita penangan, Allah suruh mereka beri kita makan, minum, pakaian, tempat tinggal, mereka pula suruh kita sediakan itu semua untuk mereka. Pendek kata jalan paling senang bagi saya, saya teruskan hidup sebagai hamba Allah yang solo.

``Ada lelaki Islam yang menempelak saya dengan mengatakan enggan berkahwin sudah ada satu dosa besar kerana melanggar hukum Allah yang mahukan hambanya berkahwin dan beranak pinak. Saya tak ada jawapan lain selain dari sekiranya saya bernikah dengannya, saya rasa saya akan dapat dosa besar, bukan pahala kerana mungkin saya akan terjerit-jerit marahkan suami saya yang pemalas dan tak mahu bekerja.

``Itulah tabiat kebanyakan lelaki Islam zaman ini (bukan semua), bersyukurlah anda kalau dapat suami yang baik dan bertanggungjawab. Sesiapa yang belum dapat suami, janganlah gopoh-gapah nak kahwin, hati-hatilah. Janganlah kerana nak kahwin anda sanggup menggadaikan maruah anda akhirnya anda sendiri hidup menderita.

``Selama ini pun untuk pengetahuan Qamarina dan Nurulaine, hidup saya hanyalah bertemankan Tuhan saya yang sangat saya sayangi dan keluarga saya. Saya bernasib baik ada pekerjaan dan bolehlah saya menanggung diri sendiri.

``Mungkin ada lelaki Islam yang ingin menegakkan benang basah dengan cerita basi mereka seperti wanita tak pandai layan suami, tak pandai masak dan sebagainya, tetapi apa usaha mereka untuk melatih isterinya supaya pandai masak, pandai bersolek dan tahu berpakaian. Semua mereka tak ambil peduli asalkan hasrat mereka tercapai.

``Memang ada kaum lelaki Islam yang membela kaumnya dan menyalahkan wanita, inilah punca mengapa ramai wanita saudara baru ini kembali ke agama asalnya. Tetapi tolonglah cuba fikirkan, mana perginya suaminya yang mendakwa Islam sejati itu? Kenapa tak jalankan tanggungjawab hinggakan isteri kembali murtad?

``Bagi saya, salah wanita itu adalah kerana dia berkahwin atau cintakan lelaki Islam yang tak tau macam mana keislamannya sendiri, tapi dalam masa yang sama lelaki ini memang berlagak alim mulanya, kononnya nak tolong saudara baru, sama ajer dengan abang angkat Qamarina, tapi ada udang sebalik mi. Ada niat tersembunyi.

``Allah tak pernah mintak apa-apa dari kita sebagai balasan, hanya jalankan tanggung jawab sebagai hamba-Nya sudah cukup, tapi lelaki Islam memang kurang *&%^&**. Hiss!, malu betul saya dengan lelaki Islam kita ini (lelaki Islam di luar negara pun sama), tapi kerana saya rakyat Malaysia, saya fokuskan pada negara sayalah.

``Kepada Qamarina dan Nurulaini doa saya supaya anda kekal sebagai orang Islam. Dalamilah Islam, anggaplah apa yang anda lalui ini sebagai ujian pertama anda. Bersabar dan berdoalah kepada Allah supaya ditetapkan Iman anda kerana ada rahmat sebaliknya.

Allah saja tempat kita bergantung, kerana Allah tidak mengkhianati kita. Saya juga mendoakan semoga anda bertemu lelaki Islam yang bertanggungjawab.

``And a perlu ingat, orang Islam memang ramai, jadi pandai-pandailah anda memilih mana yang intan dan yang mana kaca. Bagi saya, saya boleh hidup dengan apa yang saya ada sekarang, tak ada suami pun tak apa. Yang penting saya ada Allah dan keluarga. Memang jodoh di tangan Allah, tapi sebagai seorang Islam, kita wajib berusaha kerana kita tak tahu takdir Allah bagaimana sebenarnya.

Demikian pandangan dan nasihat Farahnajwa kepada Qamarina dan Nurulaine supaya kekal sebagai seorang muslim. Pendek kata cintailah Islam bukan bercinta dengan lelaki Islam, tak semestinya membawa kebahagiaan. Cintai Allah banyak rahmatnya.ADAKAH masih ingat lagi kisah yang dipaparkan dua minggu lalu berjudul `Ibu dituduh gila kerana report anak diliwat? Kisah tersebut bukan sahaja mendapat sokongan dari kaum lelaki, malah menarik perhatian seorang lagi ibu untuk memaparkan kisah yang sama.

Setelah beberapa kali berhubung melalui e-mel dari beliau suami isteri, juga berbual melalui telefon, akhirnya beliau lega setelah dapat melahirkan isi hatinya melalui ruangan DCCK kerana katanya masih ramai lagi kalangan yang cuba menyembunyikan kebenaran tentang kegiatan sesetengah lelaki yang suka melaku perbuatan meliwat kanak-kanak ini.



Sebelum itu penulis suka memberitahu sambutan pembaca tentang kisah saudara baru bernama Qamarina minggu lalu juga tidak kurang hebatnya, kepada anda semua, insyaAllah pesanan anda akan disampaikan kepada Qamarina. Dan penulis sedang menunggu masa untuk bertemu dengan seorang lagi saudara baru insya-Allah akan disiarkan minggu depan. Minggu ini kita ikuti kisah Puan Saleha yang nasib anaknya sama seperti yang dilalui oleh anak puan Norlidar.

``Bila membaca kisah anak Norlidar, hati saya melonjak untuk memaparkan kisah yang sama, bukan kerana suka tetapi kerana tak tertahan dengan tekanan yang kami anak-beranak hadapi bila berhadapan dengan mereka yang berkuasa, tetapi tidak jalankan tugas dengan jujur.

``Saya suri rumah sepenuh masa mempunyai empat orang anak, dan anak saya yang sulung inilah yang menjadi mangsa. Dulu ketika masih gadis ketika membaca DCCK saya terkejut begitu banyak kejadian ganjil berlaku, kini saya tak sangka sungguh kejadian yang keji itu boleh berlaku kepada anak saya sendiri.

``Kejadian malang ini berlaku ketika anak saya hendak menduduk peperiksaan UPSR dua tahun lalu. Sebagai ibu bapa yang perihatin kami menghantar anak ke kelas tuisyen untuk memastikan dia berjaya, sebenarnya dia dah mula bertuisyen sejak tahun 4 lagi. Tapi saya mahukan dia mendapat markah yang terbaik dalam BI jadi saya hantar ke rumah seorang guru yang masih bujang yang tinggal bersama ibu bapanya. Di sinilah berlakunya peristiwa ngeri yang mening galkan titik hitam dalam hidup anak dan keluarga saya.

``Peringkat awal dia belajar di kelas tuisyen guru ini tiada sebarang perubahan berlaku. Tidak lama selepas itu saya dapat rasakan sedikit perubahan pada anak saya, dia mula tak mahu menjaga kebersihan diri, nampak serabut dan selekeh dengan rambut tak sikat, gigi tak diberus mandi tak bersabun. Hinggakan kalau tak dipaksa dia tidak akan buat.

``Peringkat kedua dia mula tak lalu makan kalau masak lauk kegemarannya pun dia cuma makan sikit. Peringkat ketiga dia tak mahu pergi ke kelas tusyen BI. Berleterlah kita marahkan dia baru dia mahu pergi. Peliknya kelas tuisyen lain dia suka pergi, asalkan bukan tusyen BI.

``Untuk pengetahuan kak Mai anak saya ni baik dan pendiam kalau saya marah dia macam mana sekalipun dia hanya diam dan tunduk atau paling tidak air matanya akan menitik dia tak pernah menjawab walaupun dia tak bersalah. Sementara itu guru BI ini pula selalu menelefon saya bagi memastikan anak saya tak lupa datang kelasnya.

``Sebagai ibu saya rasa guru ini bertanggungjawab. Masa terus berlalu dan sikap anak saya semakin berubah ke peringkat keempat yang boleh dikatakan berubah dari keadaan dirinya sebelumnya. Kalau dulu dia pendiam bertukar jadi memberontak kalau ada benda yang membuatkannya marah dia akan masuk bilik dan menghempaskan pintu sekuat hati dan dia akan menendang dinding biliknya hingga hatinya puas. Dalam pada itu badannya jadi kurus.

``Dia juga berubah dari seorang abang yang penyayang menjadi agresif suka memukul adik-adiknya. Saya dah tak boleh tegur dia saya seolah-olah telah kehilangan anak saya yang dulu. Saya tercari-cari apakah yang menyebabkan dia berubah adakah dia sedang berperang dengan dirinya yang semakin meningkat remaja atau adakah dia terlibat dengan ubat batuk, pil khayal, dadah atau apa? Setahu saya semua kawan-kawannya saya kenal dan dia tak pernah keluar seorang diri atau dengan kawan-kawan melainkan dengan abahnya.

``Ke mana-mana abahnya akan hantar hatta ke kelas tuisyen pun kami bergilir dengan jiran. Saya hanya benarkan dia keluar bermain bolasepak pada waktu petang di padang kawasan taman perumahan kami dan dia mesti berada di rumah sebelum waktu Maghrib.

``Perubahannya amat merisaukan saya, bila saya bertanya dia tidak menjawab. Namun saya

tak henti-henti berdoa pada Allah moga memberikan kekuatan pada saya agar berjaya mendidik anak-anak saya menjadi anak yang berjaya di dunia dan akhirat, dijauhi daripada perkara yang dilarang dan mendekatkan dirinya kepada Allah dan kebaikan.

``Bila saya berbincang dengan suami katanya mungkin perubahan budak-budak nak meningkat remaja. Dalam pada itu keadaannya menjadi lebih teruk bila dia asyik tidur bila ada waktu lapang hinggakan guru kelasnya juga terlihat perubahannya kerana dia tidur waktu ujian dijalankan. Dan dia seolah-olah berada dalam dunianya tersendiri semasa guru mengajar. Guru perihatin ini telah beberapa kali mengubah tempat duduk anak saya dalam kelas bagi memudahkan beliau memantau anak saya .

``Awal tahun lalu keadaannya bertambah teruk. Dan nak jadikan cerita satu petang anak saya meminta saya ambil beg tutionnya dari rumah guru tusyen BI kerana dia akan terus ke padang sekolah kerana ada latihan sukan. Bila saya sampai saya lihat ramai pelajar dah keluar dari tusyen, anak jiran saya pun dah keluar tetapi anak saya masih belum keluar.

``Oleh kerana dah lama menunggu saya suruh anak jiran panggil anak saya. Katanya tak ada. Pelik, saya pula masuk untuk memastikan, saya lihat kasutnya ada, beg tusyen atas meja, anak saya tak ada. Puas saya panggil namanya tapi tak berjawab.

``Saya turun semula ke bawah dan bertembung dengan ibu guru ini, beliau juga mencari anaknya tapi tak ada, pintu biliknya berkunci mungkin dia dah keluar. Saya ke padang sekolah mencari anak saya. Semasa nak keluar saya ternampak dia di pintu pagar sekolah.

``Bila ditanya ke mana dia pergi, katanya guru tusyen suruh dia taip nama budak dalam komputer, tanpa banyak soal saya balik ke rumah. Semasa dalam perjalanan saya terfikir juga mengapa anak saya sering keluar lewat dari kelas tusyen antara 15 hingga 20 minit. Suami saya juga ceritakan benda yang sama, hinggakan dia rasa letih menunggu dalam kereta.

``Bila abahnya tanya jawapannya guru tusyen BI suruh susun buku, kemas buku, buat kerja dalam komputer. Sementara itu gurunya juga sering menelefon suruh saya menghantar anak saya ke rumahnya pada waktu lapang (bukan masa tution) untuk membantunya membuat kerja-kerja tambahan. Bila saya beritahu anak saya gurunya suruh datang, dia bermati-matian tidak mahu pergi. Kami suami isteri mula mengesyakki ada sesuatu yang tak kena dengan anak kami, puas kami tanya tapi jawapannya tetap sama. Tak ada apa!

``Akhirnya saya meminta tolong kawan seorang doktor (anaknya lelaki sebaya anak saya) dia meminta bawa anak saya ke rumahnya dengan alasan mengulangkaji pelajaran. Kesempatan ini digunakannya untuk bertanya pada anak saya apa sebenarnya yang berlaku tetapi anak saya hanya menyatakan yang gurunya tusyen suruh picit badannya bila ditanya di mana, kata anak saya di dalam bilik tidur gurunya. Pengakuan anak saya ini amat memeranjatkan, saya terus memberhentikan dia dari kelas tusyen. Kerana hati saya rasa tidak senang.

``Bila berhenti bertalu-talulah gurunya menelefon. Saya katakan padanya bahawa anak saya dan saya tahu apa yang perlu saya lakukan dan esok saya akan bawa anak saya ke klinik untuk buat pemeriksaan. Tak pasal-pasal guru tu kata tak payah, anak saya cuma perlu tenangkan fikiran, bawalah makan angin. Lima minit kemudian dia telefon nak bercakap dengan anak saya, tapi saya buat alasan anak saya sedang tidur.

``Kami suami isteri merasa agak pelik, mengapa dia menghalang anak saya ke hospital. Sebagai ibu bapa dan berakal, kami mencari jalan bertanya kepada ibu kanak-kawan tusyen anak saya yang lain. Berkat petunjuk Allah juga akhirnya terbongkarlah cerita bukan anak saya saja yang di bawa masuk ke bilik lepas tusyen tetapi ada budak lelaki lain, budaknya pendiam dan baik.

``Ibu budak lelaki itu juga memerhatikan kelainan anaknya, dia baru sedar setiap kali pulang tusyen anaknya berbau minyak wangi, saya mencadangkan beliau hentikan anaknya. Tetapi beliau mahu siasat. Satu hari dia paksa anaknya ceritakan apa sebenar terjadi. Barulah terbongkar cerita gurunya suruh pegang*#@^** sambil buat benda-benda lucah dan menonton CD lucah.

``Kami suami isteri terkejut terus memaksa anak kami ceritakan yang sebenar, kerana kami dah dapat cerita sebenar dari kawannya. Barulah anak kami mengaku dia juga dibuat perkara yang sama. Rasa nak pitam saya! Nak terbalik rasanya dunia ini. Kami sepakat nak jumpa guru besar. Kami buat laporan secara lisan kerana guru tusyen itu pun mengajar di sekolah anak saya.

``Kami dua keluarga menceritakan kejadian yang sama kepada guru besar, beliau cuma berjanji akan menyiasat untuk mencari jalan yang baik dan akan ambil tindakan selepas merujuk kepada PPD. Tapi beliau meminta kami jangan menceritakan kepada sesiapa, terutama pada guru-guru sekolah. Beliau tidak pernah menasihatkan kami membuat laporan polis.

``Kami pernah ditemukan di bilik guru besar, guru ini melutut sambil menangis meminta ampun dan maaf dia dah bertaubat tak mahu buat lagi. Katanya masa depannya akan gelap kalau dilaporkan kepada polis. Dia menangis dan meraong-raong.

``Kerana merasakan guru besar kurang tegas terhadap tindakannya, terutam bila beliau beritahu dia ada garis panduan yang memerlukan dia menyiasat siapa yang londeh seluar siapa. Kami jadi terdiam dan terkejut. Akhirnya kami buat laporan polis.

``Semasa saya sedang memberi keterangan saya terkejut melihat ayah dan ibu guru itu datang ke balai sungguh cepat mereka dapat maklumat mereka terus berjumpa dengan Ketua Balai dan menyatakan bahawa laporan saya tak benar dan saya cuba memfitnah anak mereka. Setelah selesai buat laporan saya balik ambil anak saya dan bawa ke Hospital Besar Alor Setar untuk pemeriksaan selama 4 hari 3 malam anak-anak kami duduk di situ.

``Lepas buat laporan polis barulah ibu bapanya datang merayu-rayu meminta kami tarik balik laporan, kata mereka kasihanilah anaknya dah jadi macam orang gila menggelupur dan menjerit. Saya katakan kepada mereka anak kami juga cedera di otak dan jiwanya disebabkan orang yang tak bertanggungjawab dan saya sebagai ibunya hampir gila dan air mata saya dah kering menangisi apa yang berlaku, bukan mudah untuk kami menerima semua ini. Dan kami dah buat laporan polis kami tak boleh buat apa-apa lagi.

``Akhirnya guru ini menyerah diri ke balai. Dia hanya disoal siasat beberapa jam dan dia telah dibebaskan atas jaminan polis sebabnya konon dia dah mengaku kesalahannya. Dia tidak dikenakan tahanan reman. Saya cuma menangis dan kesal kerana kami tak ada kabel. Bayangkan bertapa guru ini mendapat keistimewaan, ini yang sangat saya kesalkan.

``Terdapat juga gangster yang mengganggu keluarga terdekat saya dan menyuruh mereka memaksa saya menarik balik kes ini jika tidak mereka akan melakukan kekacauan tetapi Alhamdulillah, Allah sentiasa menolong orang yang benar. Nak jadikan cerita mereka bergaduh sesama sendiri, tak tahulah apa sebabnya.

``Akhir kalam, doa kami kepada sesiapa yang membantu guru ini terlepas dari balasan dunia ini, maka mereka mestilah bersedialah kerana anda ada saham di akhirat nanti dan di sana tak ada kabel yang akan membantu anda.

``Sementara itu kami suami isteri juga telah mendapatkan khidmat kaunseling. Peristiwa ini mengajar kami lebih menyayangi keluarga. Allah ada berfirman tidak meningkat iman seseorang itu selagi dia tidak diuji. Kami pasrah dan percaya setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya. Dunia ini hanyalah pinjaman semata tiada yang kekal melainkan Allah.

``Saya paparkan kisah ini setelah membaca pengalaman yang dilalui oleh Norlidar. Saya rasa tentu beliau rasa lebih parah lagi kerana melibatkan orang berkuasa. Saya dapat rasakan keperitan hati, jiwa dan emosinya, kerana saya juga mempunyai pengalaman yang sama. Yang berbeza anaknya berusia dekat enam tahun sedangkan anak saya ketika itu dalam tahun 4 sudah boleh bercerita dan menceritakan pengalaman pahitnya.

``Sebenarnya saya pun tak suka menghebohkan cerita memalukan ini, tetapi saya buat dengan niat untuk membenteras dari awal supaya kejadian yang sama tidak berulang kepada anak-anak orang lain pula, apa yang berlaku umpama putaran alam, sebab itulah generasi kita semakin tak ketentuan gender. Saya juga mahu kisah ini menjadi panduan kepada ibu bapa lain yang menghadapi masalah yang sama, lepas buat laporan polis hebahkan kepada akhbar, kalau tidak kes ini akan terbenam sahaja. Terutama kepada anda yang tak ada kabel.

Demikian cerita Saleha tentang kejadian malang yang menimpa anak beliau dan kawan sekolah anaknya. Saya ingin bertanya satu perkara, mengapa mesti dikuburkan bila kejadian buruk berlaku, dan jangan terasa marah kalau dipanjangkan kepada pengetahuan umum.

- MAIMUNAH

 

Mahu Melanggan? | Daftar | RSS | Twitter 

 

 

Langgan newsletter Cilimuda?



Trackback(0)
Comments (2)add comment
Bagaimana kita nak percaya pada guru... sehari dua ni, ustaz pula buat hal...
Aduhai...apalah nak jadi dengan umat akhir zaman ni.
1

report abuse
vote down
vote up
July 24, 2010
Votes: +0
MARIETTA21Robinson: ... http://www.bestfinance-blog.com
The mortgage loans suppose to be very useful for guys, which would like to organize their own company. By the way, this is very comfortable to receive a bank loan.
2

report abuse
vote down
vote up
August 17, 2010
Votes: +0

Write comment
quote
bold
italicize
underline
strike
url
image
quote
quote
smile
wink
laugh
grin
angry
sad
shocked
cool
tongue
kiss
cry
smaller | bigger

busy
ga980804.gif