Ibu Dituduh Gila Kerana Report Anak Diliwat

Attention: open in a new window. PDFPrintE-mail
User Rating: / 3
PoorBest 

KISAH yang saya paparkan di bawah ini bukan bertujuan untuk menakutkan sesiapa, tetapi sekadar memberi peringatan, dan peringatan ini telah berkali-kali dipasakkan ke telinga kita supaya lebih berhati-hati ketika mendidik dan membesarkan anak-anak kita.

Namun bagaimana awas pun kita menjaga anak-anak, ada kalanya kita terlupa, bukan sengaja tetapi kerana terlalu percaya kepada orang yang kita amanahkan untuk membantu menjaga anak-anak kita. Kerana terlalu percaya juga biasanya kita alpa, dan sukar mahu percaya apa yang tergamak seseorang itu lakukan kepada anak kita.

Kisah kali ini lain daripada biasa anda baca, tetapi amat baik untuk anda baca, simpan dalam fikiran kita, supaya kita sama-sama beringat agar anak cucu kita tidak teraniaya seperti apa yang berlaku kepada kanak-kanak yang berusia lima setengah tahun seperti yang diceritakan oleh ibunya kepada penulis, ketika kami bertemu baru-baru ini.

Sebenarnya penulis sudahpun merancang untuk memaparkan kisah lain, tetapi setelah membaca e-mel yang dihantar oleh Puan Norlidar anaknya, rasanya pengalaman hidup yang dilaluinya baik untuk kita hayati untuk dielakkan daripada terus berlaku. Dan tindakan segera pihak berwajib patut disegerakan demi masa depan kanak-kanak pada masa akan datang.

``Sebenarnya saya dah tak tahu kepada siapa lagi harus saya mengadu, sebab saya rasa report yang telah saya buat kepada pihak polis nampaknya tidak berjalan segera seperti sepatutnya. Saya baca banyak berita dalam akhbar apabila terjadi satu-satu kes penganiayaan, pencabulan dan liwat terhadap kanak-kanak termasuk mangsa rogol, kesnya segera disiasat dan yang tertuduh segera di soal siasat dan tertuduh segera dihadapkan ke mahkamah.


``Tapi kes anak saya sudah lebih dua bulan berlalu, tidak ada sebarang tindakan di ambil sebaliknya saya pula disergah dan ditengking macamkan saya yang bersalah, sedangkan saya yang membuat report terhadap apa yang terjadi terhadap anak lelaki saya. Saya nak tanya salahkah saya bertanya kepada pihak polis tentang perkembangan kes anak saya? Sebab bila saya bertanya saya pula yang kena marah oleh pegawai penyiasat.

``Rasanya tentu pembaca kurang faham apa yang ingin saya ceritakan. Kisah saya begini, saya ingin berkongsi pengalaman ngeri lagi menyayat hati yang telah dilalui oleh anak lelaki saya yang berusia hampir enam tahun. Peristiwa ini berlaku awal tahun ini.

``Bermula awal tahun ini saya telah menghantar anak lelaki saya ini ke rumah pengasuh yang juga merupakan jiran baik saya, saya katakan baik sebab kami sekeluarga pernah bertandang ke kampungnya, dan kerana kami sudah lama berjiran maka hubungan kami menjadi baik dan mereka saya anggap macam keluarga sendiri.

``Tetapi malangnya sepanjang masa saya hantar anak ke rumah beliau dalam masa tak sampai lima bulan, anak saya belum pun berumur enam tahun telah didera seksual (dicabul dan diliwat) dalam rumah pengasuh tersebut. Tak cukup itu sahaja anak saya diancam atau diugut dengan pisau supaya tidak beritahu kepada sesiapa pun tentang apa yang dilakukannya.

``Kerana ugutan itulah juga saya tidak tahu tentang kejadian tersebut, anak saya takut beritahu saya, kerana dia setiap hari terpaksa pergi ke rumah itu sepanjang peninggalan saya bekerja. Kejadian ini hanya terbongkar apabila anak saya ini berubah sikap daripada periang menjadi pendiam, murung dan takut. Lepas itu peribadinya jadi ganas menjadi kanak-kanak suka memberontak tidak mahu langsung pergi lagi ke rumah pengasuh itu.

``Tetapi kerana saya bekerja saya telah berusaha memujuknya untuk pergi juga, hampir dua minggu lamanya saya memujuk dia suruh pergi dia tetap enggan, bila saya bertanya mengapa dia takut nak pergi dia hanya mendiamkan diri.

``Kerana dia mendiamkan diri tentulah tidak ada alasan yang dia tidak mahu pergi ke rumah pengasuh, bila saya berkeras juga memujuknya pergi akhirnya barulah dia berani memberitahu saya apa yang berlaku ke atas dirinya.

``Dia bukan sahaja menceritakan, malah menunjukkan kepada saya cara bagaimana dia telah diperlakukan dan diseksa oleh suami kepada pengasuh tersebut yang juga merupakan jiran baik kami. Sungguh saya tidak sangka dengan apa yang diceritakan.

``Tapi saya percaya dengan apa yang diceritakan oleh anak saya, kerana kanak-kanak yang berumur sepertinya tidak tahu mereka-reka cerita, melainkan dia telah mengalaminya sendiri. Bagaimana pun dia tidak bercerita secara terus dari mulanya. Mula-mula dia kata dia tak mahu pergi ke rumah pengasuh kerana ada hantu yang mengusik panggongnya dan buat dia sakit.

``Kalau budak-budak cerita hantu tentu saya tak percaya tetapi bila dia ternampak serkup kepala hitam yang dipakai oleh neneknya dia pun ceritakan serkup kepala macam itulah yang dipakai oleh hantu jahat tersebut. Dia hanya nampak bubuh, tangan, kaki dan anggota lelaki itu sahaja, tak nampak muka sebab diserkup.

``Anak saya tak pernah dan tak suka tengok cerita tv lain daripada kartun atau Power Ranger kegemarannya dan di rumah kami tak simpan vcd cerita-cerita lucah dan dia memang tidak pernah terdedah dengan cerita seperti itu.

``Sebenarnya baru sebulan duduk di rumah pengasuh anak saya sudah mula menceritakan dia takut dengan hantu dan berkelakuan amat pelik, tetapi saya tak kisahkan sangat, saya fikir tentu budak takut dengan cerita hantu, tetapi setiap kali saya hendak mandikannya dia akan marah bila saya cuba mencuci bahagian ponggongnya, dia akan menjerit kesakitan dan dia tak suka lagi saya mandikan apa lagi menyentuh tubuhnya.

``Tapi saya tak begitu ambil pusing, saya fikir tentu dia sakit sebab susah nak buang air, saya beri dia makan banyak buah, fikirkan cacing saya bagi ubat cacing, tetapi dia tetap mengadu sakit ponggong iaitu bahagian duburnya. Tetapi bila saya bertanya atau nak tengok bahagian mana yang sakit dia akan menjerit ketakutan kerana sakit yang amat sangat. Dan dia masih tidak memberitahu sebab mengapa duburnya sakit.

``Namun setelah saya pujuk berkali-kali barulah dia menceritakan kepada saya bagaimana dan siapa yang melakukan kerja terkutuk itu. Bila saya tanya mengapa tak beritahu dari awal dia kata dia takut sebab dia diugut (ditunjukkan) dengan pisau agar tidak beritahu sesiapa pun, katanya jangan bagi tahu emak nanti emak pukul. Dan saya amat kesal kerana langsung tidak mengesyaki apa yang berlaku kerana terlalu percayakan pengasuh dan suaminya.

``Saya hampir gila bila mengetahui perkara yang sebenar. Timbul rasa kesal yang amat sangat hingga ke hari ini kerana saya seolah-olah telah mencampakkan anak saya ke dalam lubang buaya. Rasa hiba saya makin menjadi-jadi kerana saban malam dia tidur malamnya akan meracau-racau ketakutan, ada kalanya dia menangis dan menjerit kesakitan dalam tidurnya.

``Kesan daripada peristiwa kejam ini pribadi dan kehidupan anak saya telah bertukar daripada seorang yang ceria kepada penakut, pemarah, memberontak, hilang keyakinan diri dan sering dalam truma setiap kali berada di rumah, kerana kami masih tinggal berjiran.

``Itu bab anak lelaki saya yang dicabul, diliwat dan diugut dengan pisau, ini pengalaman saya sendiri yang berdepan dengan pihak berkuasa ketika membuat laporan polis. Setelah membuat repot, anak saya diarahkan pergi ke HKL untuk pemeriksaan fizikal, bila saya tanya kenapa pemeriksaan tak sampai lima minit dan fizikal sahaja, saya diberitahu oleh doktor tersebut, dia cuma menjalankan tugas seperti yang diarahkan.

``Lepas tu anak saya di bawa ke BA untuk ujian CPU, dia telah menunjukkan cara menggunakan patong bagaimana dia diperlakukan iaitu dicabul dan diliwat. Dia juga memberitahu dia diugut dengan pisau supaya jangan memberitahu kepada orang lain apa yang telah berlaku.

``Namun saya amat keciwa di peringkat awal ketika membuat laporan pegawai penyiasat itu telah beritahu saya bahawa kes anak saya ini susah sikit sebab ia melibatkan anggota. Saya berharap mereka bersikap telus dan ikhlas dalam mengendalikan kes, walaupun ia melibatkan anggota. Sebab tidak ada gunanya melindungi orang yang bersikap seperti haiwan, sanggup meliwat dan mencabul kanak-kanak yang masih kecil dan tidak berdosa.

``Bila saya tanya lagi bila kes anak saya akan dibawa ke mahkamah pegawai penyiasat ini memberitahu dengan suara yang garang, marah dan menengkeng bahawa kes anak saya ini tak ada bukti kukuh, kerana tak ada kesan fizikal nanti DPP tolak. Apa dia nak tengok luka, koyak atau sampai anak saya mati baru ada kesan fizikal? Dan baru dia nak percaya!

``Bila saya tanya pula apa jadi dengan laporan CPU bukankah sudah ada bukti sah, pegawai penyiasat itu menjadi lebih marah. Beberapa hari kemudian saya tanya pula laporan yang diterimanya dari pakar Psikologi, laporan itu juga memihak kepada anak saya, sekali lagi beliau menafikan. Apa yang saya tak sedap didengar bila pegawai penyiasat ini turut mendakwa, bahawa dia juga tahu psikiologi dan dia memang tak berpuas hati dengan laporan doktor pakar berkenaan. Dia akan siasat lagi dengan doktor psikiologi berkenaan.

``Saya lagi pelik, sepatutnya pegawai penyiasat buat siasatan untuk membawa lebih banyak bukti kes ini ke mahkamah, tetapi beliau pula bertindak akan menjalankan kajian lebih lanjut untuk menolak kes tersebut ke tepi. Itu yang saya faham dari perbualan saya dengan pegawai penyiasat tersebut. Bukan calang-calang pangkatnya dari D9B.

``Kadang-kadang saya pelik, dan timbul rasa tidak puas hati bila ada kes yang melibatkan orang awam, kes tersebut cepat diambil tindakan seperti menangkap tertuduh untuk disoal siasat, tetapi kes saya dah lebih dua bulan berlalu tanpa sebarang tindakan, khabarnya orang itu pun tidak disiasat kerana bukti fizikal kononnya tak cukup lengkap .

``Satu hari setelah orang itu tahu bukti tak lengkap dia datang serang, ludah muka dan memaki hamun saya dekat rumah. Dia tuduh saya perempuan gila, tidak bermaruah dan pelbagai macam lagi. Saya tidak melawan tetapi saya beritahu saya terpaksa buat repot kerana anak saya telah menjadi mangsanya. Isterinya juga tak percaya apa yang berlaku termasuk jiran-jiran kerana mereka masih diberikan kepercayaan menjaga ramai lagi kanak-kanak. Itu saya tak pedulilah bukan urusan saya lagi, yang penting saya telah membawa kes anak saya ke muka pengadilan, dan saya berharap anak saya mendapat pembelaan sewajarnya.

``Lelaki ini bukan sahaja panggil saya perempuan gila malah mengugut akan menyaman saya kerana membuat laporan terhadapnya. Dia mendakwa dia memang yakin kes ini tidak akan lekat padanya dan fail dia akan dibersihkan. Dia juga mendakwa dia akan terlepas, bebas sebab tak ada bukti kesan fizikal. Bila didapati tidak ada kes nanti dia akan saman saya pulak.

``Ancaman dan serangannya kepada saya depan anak saya membuatkan anak saya menjadi lebih takut. Malah anak saya sering mengajak kami pindah, dia takut dengan lelaki tersebut, dan dia juga bimbang saya akan diserang lagi. Nasib baik ketika saya diserang dan ditengkeng sekuat hati, saya memegang bayi saya yang masih kecil, membuat bayi saya juga menangis ketakutan kerana suaranya yang kuat. Agaknya kerana saya memegang bayi saya tidak dipukul, tak tahulah kalau sebaliknya dan nasib baik juga suami saya berada di kawasan sekitar rumah kami.

``Sebenarnya saya tak tahu kepada siapa lagi saya nak mengadu, saya juga bimbang tentang keselamatan kami sekeluarga, maklumlah kami orang awam. Saya juga tak tahu banyak pasal undang-undang, jadi saya perlukan pandangan, manalah tahu ada pembaca yang arif tentang masalah seperti ini dapat menasihatkan apa yang harus saya lakukan lagi. Saya mahu nasib anak saya terbela. Dan saya juga tak mahu kes seperti ini dibiarkan kerana ia akan menyebabkan lebih ramai masyarakat kita khususnya remaja yang kecelaruan gendar.

``Saya bertindak bukan sahaja kerana mahu nasib anak saya terbela, tetapi dapat menjadi pengajaran kepada ibu bapa yang lain, agar lebih berhati-hati dan mengambil tahu apa juga masalah yang diadukan oleh anak-anak kepada kita. Kita dengar dengan hati-hati, kita tapis dan jangan sekali-kali kita pandang ringan. Kita lihat juga perubahan diri mereka supaya kita tidak kesal kemudian hari kerana kealpaan kita.

Demikian cerita Norlidar, kita sedar kes seperti ini banyak berlaku, tetapi banyak ibu bapa terpaksa menutup mulut kerana malu apabila dikatakan kurang bukti. Lainlah kes rogol senang dibuktikan secara fizikal terutama kanak-kanak bawah umor, tetapi banyak juga terlepas.

Namun sampai bila kita mesti membisu, kita mesti bangkit menegakkan keadilan, apakah kita mahu lebih ramai remaja kita pada masa akan datang yang kecelaruan gendar. Waktu itu kita jangan salahkan anak-anak remaja kita, sebaliknya salahkan diri sendiri kerana tidak mahu bertindak dan suka menyembunyikan masalah di bawah permaidani.

 -Maimunah

Mahu Melanggan? | Daftar | RSS | Twitter 

 

 



Langgan newsletter Cilimuda?



   

Ibu Dituduh Gila Kerana Report Anak Diliwat

Trackback(0)
Comments (2)add comment
azman bin azizan 630309025641: ...
saya cuma ada satu pandangan.....khususnya untuk suami puan.murah dan senang saja.kita sebagai lelaki settle lah cara lelaki.kalau pasti setan tu yang buat.....ambil parang bantai saja kepala dia.atau pun kerat kemaluan dia .....biar dia rasa.....BANG DUNIA HARI NI PEGANGLAH PRINSIP EYE FOR AN EYE...CARI KEADILAN.....(bukan parti KEADILAN)
1

report abuse
vote down
vote up
June 22, 2009
Votes: +0
abdrahman78: ...
saya tumpang simpati dan sebak membaca kes ni..kudrat saya tidak sekuat mane untuk membantu puan tersebut. Walau pon saya lelaki, tp jika berkemampuan,Insyaallah sy jaga puan sekeluarga terutannya anak puan hingga menara gading...doakan puan tersebut sekeluarga selamat dan beroleh keadilan di dunia dan akhirat
2

report abuse
vote down
vote up
October 28, 2009
Votes: +0

Write comment
This content has been locked. You can no longer post any comment.

busy
ga991008.gif